SEJARAH PENUBUHAN

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong, Machang, Kelantan merupakan sebuah sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). MTAQ menggabungkan tiga kurikulum bersepadu iaitu Kurikulum Al-Quran dan Qiraat mengikut sukatan pelajaran Maahad Qiraat Al-Azhar Mesir, Kurikulum Arab & Agama mengikut sukatan pelajaran Maahad Bo’uth Al-Azhar Mesir dan Kurikulum Akademik mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia.

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) telah ditubuhkan pada tahun 1992 hasil cadangan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, YAB Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan setelah mentadbir Kelantan pada tahun 1990. Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan MTAQ di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan seramai 30 orang pelajar dipilih sebagai generasi sulung MTAQ. YIK telah melantik al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Mansor bin Haji Daud sebagai Pengetua dan al-Fadhil Ustaz Nazaruddin bin Jalaluddin sebagai guru tahfiz Al-Quran dan guru penolong. Manakala pengajaran bagi beberapa mata pelajaran lain dibantu oleh pegawai-pegawai YIK.

Generasi pertama MTAQ di Nilam Puri

Para pelajar ditempatkan sementara di bangunan Lembaga Peperiksaan YIK, Nilam Puri kerana kompleks MTAQ di Pulai Chondong sedang dalam pembinaan. Pada 16 Mei 1993 MTAQ telah berpindah ke kompleks baru di Pulai Chondong, Machang di atas tanah seluas 4.8 ekar. Kompleks tersebut meliputi binaan asasnya dengan sebuah bangunan 2 tingkat yang mengandungi 1 buah bilik Pengetua, Penolong Kanan dan pengurusan pejabat, 1 buah bilik guru dan 8 buah bilik darjah. MTAQ telah didaftarkan di bawah Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Bilangan 4 Tahun 1994, No. Rujukan: D 231/595/1/3-5 dan No. Daftar: 14/98 (MTQ).

Pada tahun 1995 satu bangunan masjid dan Maktabah MTAQ siap dibina hasil sumbangan masyarakat sekitar dan orang ramai. Pada tahun yang sama juga, satu bangunan asrama blok B siap dibina hasil sumbangan tabung pelajar Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri sebanyak RM292,000.

Bangunan masjid dan maktabah MTAQ siap dibina pada tahun 1995

Antara kejayaan yang pertama dicapai oleh MTAQ ialah Anugerah Sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1997 dengan mendapat keputusan 100% dan Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Ugama (STU) pada tahun 1998 dengan mendapat keputusan 100% peringkat Yayasan Islam Kelantan.

Kemudahan dan prasarana MTAQ ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselesaan dan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Pada tahun 2001, bilangan kemasukan pelajar ke MTAQ telah ditambah kepada dua kelas, iaitu seramai 60 orang sebagai memenuhi permohonan yang ramai dari kalangan ibu bapa yang meminati bidang hafazan al-Quran sama ada dari dalam atau luar Kelantan. Pada tahun 1997, seluas 3.1 ekar lagi tanah dibeli bersebelahan dengan tapak utama untuk membina bangunan baru bagi menampung pertambahan jumlah pelajar dan menjalankan pelbagai aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum. Tanggal 18 Ogos 2003, MTAQ ditukar namanya kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat setelah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Ahli Lembaga MTAQ.

Pada akhir tahun 2002, sebuah bangunan baru 3 tingkat telah mula dibina di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dengan usaha daripada Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). Bangunan ini siap dibina sepenuhnya dan mula beroperasi pada sesi pembelajaran awal tahun 2004. Bangunan 3 tingkat ini meliputi 9 buah bilik darjah, sebuah makmal sains dan sebuah makmal teknologi maklumat (ICT). Bangunan ini dapat menampung pertambahan bilangan pelajar dan mampu memperkasa penguasaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi ke arah melahirkan hafiz al-Quran yang memenuhi pasaran kerja semasa dan memimpin Negeri Kelantan ke arah mencapai keredhaan Allah

Pada Tahun 2005, Kerajaan Negeri Kelantan telah membina sebuah masjid yang bernilai RM3.9 juta untuk kegunaan para pelajar MTAQ dan masyarakat sekitar. Ia dibina di atas tanah seluas 2 ekar dalam kawasan MTAQ yang dikenali sebagai Masjid Keputeraan dan dapat menampung hampir 2000 orang jemaah pada satu masa. Masjid ini siap dibina pada tahun 2007 dan dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Tuanku Yahya Petra Sultan bagi Kerajaan Negeri Kelantan pada 27 April 2009. Masjid ini juga menjadi pusat pengembangan pelbagai aktiviti dan melatih pelajar dengan program-program keagamaan dan kemasyarakatan. Melalui program-program yang didedahkan kepada para pelajar diharap dapat membantu mereka menguasai pelbagai ilmu kemasyarakatan sebelum berada bersama masyarakat setelah tamat belajar kelak.

Pada awal persekolahan tahun 2006, YIK telah membuka cawangan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah (MTAQA BC) di Daerah Pasir Mas iaitu di Kampung Banggol Chicha dengan pengambilan pelajar seramai 60 orang. Ia sekaligus menjadikan bilangan pengambilan pelajar baru ke MTAQ seramai 120 orang setahun. Dengan terbinanya MTAQA BC ini, maka diharapkan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk melahirkan seorang hafiz al-Quran dalam setiap keluarga akan tercapai.

Scroll to Top